Nasib Tukang Jahit di Pasar Kuala Berang

10 tukang jahit terjejas
Wartawan Sinar Harian
17 Februari 2012
tukang jahit

KUALA BERANG – Lebih 10 tukang jahit di Pasar Besar Kuala Berang, melahirkan ketidakpuasan hati mereka terhadap pengurusan pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah itu, kerana berlaku senario yang menyebabkan pendapatan mereka terjejas.

Atas aduan yang dilaporkan, Sinar Harian ke pasar berkenaan dan mendapati ia lengang, malah apa yang mengejutkan kedai makan di ruang bawah turut tidak beroperasi sepenuhnya.

Lebih memeranjatkan apabila tiada seorang pun pelanggan berlegar di tingkat atas premis itu sekali gus menimbulkan tanda tanya apa perkara sebenar yang berlaku.

Seorang pengadu yang ditemui, Pinah Hassan, 44, berkata, dia mula menyewa kedai di situ dengan bayaran RM350 sebulan pada pertengahan Julai tahun lalu.

Menurutnya, sejak memulakan perniagaan di situ, dia sudah merasakan sesuatu tidak kena kerana kedai di bahagian bawah turut menawarkan khidmat menjahit, sedangkan mengikut perjanjian, mereka hanya dibenarkan menjual pakaian.

“Saya dan tukang jahit yang berada di tingkat atas tersepit kerana pelanggan kebanyakannya tidak naik ke bahagian atas kerana perkhidmatan menjahit yang diperlukan sudah terdapat di aras bawah.

“Pelanggan yang datang ke kedai saya dan yang lain-lain ini pun adalah pelanggan tetap, tetapi kini semakin berkurangan kerana mereka mula ‘malas’ naik tangga dan datang ke kedai jahit di tingkat satu memandangkan kemudahan itu berada di bawah,” katanya ketika ditemui di Pasar Besar Kuala Berang di sini, semalam.

Menurutnya, berikutan kekurangan pelanggan dan keadaan begitu lengang, pendapatannya juga turut terjejas dan menimbulkan masalah untuk membayar sewa bangunan yang didakwa agak mahal.

“Kalau dahulu di tapak pasar lama sebelum diarah berpindah di sini, saya jahit pakaian antara empat hingga lima pasang sehari, tetapi sekarang memandangkan banyak masalah timbul, hendak dapatkan seorang pelanggan pun payah,” katanya.

Menurutnya, pendapatan mereka hanya bergantung kepada kerja mengambil upah menjahit semata-mata, sekiranya tiada pendapatan dan tidak mencukupi, memang sukar untuk menyewa di bangunan itu.

“Apa yang kami harapkan, PBT turun melihat nasib yang menimpa kami di sini kerana aduan telah disuarakan kepada pejabat kerajaan (PBT) tetapi tiada jawapan pasti yang kami peroleh, sekali gus menambahkan lagi kegusaran di hati kami,” katanya.

Katanya, dia sendiri mengakui kepada Sinar Harian bahawa tidak pernah membayar sewa secara penuh setiap bulan kerana pendapatan berkurangan.

“Kami di sini bukan mahu mencari masalah dengan mana-mana pihak, cuma besar harapan kami sekiranya masalah ini dapat diselesaikan segera walau apa cara sekali pun, supaya kami dapat mencari rezeki dengan lebih baik,” katanya.

Dipetik dari  http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/10-tukang-jahit-terjejas-1.24616
___________________________________________________________________________

Post a Comment

0 Comments